Home / Usahawan / 2 Ibu S’pura Menang Anugerah AS; Terbit Siri Buku Inggeris Ajar Kanak-Kanak Bahasa Arab

2 Ibu S’pura Menang Anugerah AS; Terbit Siri Buku Inggeris Ajar Kanak-Kanak Bahasa Arab

SINGAPURA: Apabila Hafeezah Alsagoff dan Hanan Alsagoff tidak dapat mencari buku menarik lagi interaktif tentang bahasa Arab yang ditulis dalam bahasa Inggeris untuk anak mereka, adik-beradik itu memilih untuk menerbitkan sendiri buku siri mereka, bahkan merangkul anugerah baginya.

Siri ‘Arabic Alphabet Of Huruf Island’, yang merangkumi tujuh buku, pertama kali dikeluarkan pada 2017. Baru-baru ini, ia memenangi anugerah Siri Buku Terbaik 2021 daripada syarikat penerbitan Amerika Syarikat, Daybreak Press.

Anugerah itu disampaikan secara maya sebagai sebahagian daripada Pesta Buku syarikat tersebut, yang dianjurkan dari 22 hingga 24 Oktober.

Ia menampilkan watak-watak “yang berkait rapat dengan kanak-kanak dari semua agama dan latar belakang”, “membantu mengurangkan halangan antara budaya serta menggalak perpaduan dalam masyarakat kita”, menurut satu kenyataan media.

Hafeezah, 39 tahun dan ibu kepada dua orang anak, berkata mereka “amat bersyukur” atas penganugerahan itu.

Adik-beradik itu berkata meskipun mereka dilahirkan di Singapura, mereka terdedah kepada “pelbagai bentuk pendidikan” sejak kecil lagi. Mereka menghadiri sekolah antarabangsa Australia, Amerika dan Britain di beberapa bahagian dunia.

Hafeezah lulus pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Sosiologi dan Kajian Teater manakala Hanan mempunyai Sarjana Seni Bina dari universiti yang sama. Kedua-duanya menjadi guru sekolah menengah sebelum mereka mengasaskan syarikat penerbitan sendiri, Homely Hammock, pada 2014.

“Melalui pengalaman ini, kami belajar nilai kreativiti dan mencipta pengalaman pembelajaran yang tidak terasa seperti belajar. Misalnya, mencipta watak-watak yang tidak dapat dilupakan untuk memperkenalkan huruf Arab menerusi cerita dan permainan kad yang membolehkan kanak-kanak untuk belajar melalui bermain,” terang Hanan, 37 tahun, ibu kepada empat anak.

Siri itu terbukti popular dalam kalangan pembaca di seluruh dunia, dengan ibu bapa mereka menganjurkan kegiatan persekolahan di rumah berdasarkan buku-buku tersebut. Ini mencetuskan pasangan adik-beradik itu untuk mengeluarkan siri sampingan yang turut merangkumi buku interaktif menulis guna jari dan kad permainan.

Lewat tahun ini, adik-beradik itu dijangka mengeluarkan cetakan kedua buku menulis guna jari di samping tajuk baru bagi siri asal tersebut. Homely Hammock, yang kian berkembang, juga dalam perancangan untuk mengambil lebih ramai penulis, menembusi lebih banyak pasaran, mencipta video animasi serta menjual hak cipta asing bagi tajuk-tajuk bukunya.

Siri ‘Arabic Alphabet of Huruf Island’ boleh didapati di Singapura, Indonesia, Malaysia, Australia, New Zealand, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat.

Di Singapura, siri tersebut dijual di kedai runcit seperti Darul Arqam, Kinokuniya dan Wardah Books atau melalui laman Homely Hammock.

Kredit – CNA/FZ/fz

Advertisement

About admin

Check Also

Dihimpit Kemiskinan Nenek Tidur Dalam Almari Di Tepi Jalan

SURABAYA: S3buah @lmar1 k@yu b3rukuran 75 s3ntimet3r (cm) t!nggi dan 100 cm p@njang m3njadi ‘rum@h’ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *