Home / Berita Terkini / Kebocoran 4 juta data peribadi: PDRM sahkan terima laporan

Kebocoran 4 juta data peribadi: PDRM sahkan terima laporan

Kuala Lumpur: Kebocoran maklumat serius apabila empat juta data peribadi awam kononnya diperolehi melalui laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) ditawarkan untuk dijual.

Kebocoran data peribadi awam itu didakwa membabitkan Application Programming Interfaces (API) yang dihasilkan untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Susulan pelbagai maklumat berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada Timbalan Pengarah JPN di Balai Polis Presint 7, Putrajaya semalam.

“Polis akan mendapatkan laporan daripada bahagian teknologi maklumat JPN dan memeriksa sistem JPN serta LHDN untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam berkenaan.

“Setakat ini, kita masih memperhalusi dakwaan itu daripada pelbagai sudut. Tindakan awal… kita akan sekat ia (maklumat) daripada dijual,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, tadi.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan orang dalam membabitkan perkara itu.

“Bagaimanapun, siasatan akan dibuat secara menyeluruh kepada semua pihak terbabit dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Siber Sekuriti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya.

Terdahulu, satu forum perbincangan digital melaporkan pangkalan data milik JPN disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum pangkalan data yang terkenal semalam.

Menurut forum berkenaan, empat juta data peribadi awam yang diperolehi daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY ditawarkan untuk dijual.

Sementara itu, LHDN menafikan laporan portal berkenaan yang mendakwa empat juta data yang bocor terbabit diperolehi daripada laman sesawang myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan JPN.

“Untuk makluman, LHDN hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY. Siasatan dalaman dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti didakwa.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN, NACSA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan itu,” katanya semalam/

Kenyataan itu memaklumkan LHDN memberi jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan agensi itu adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.

“LHDN amat kesal dengan laporan dan dakwaan berkenaan kerana ia boleh menghakis keyakinan orang ramai khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data dan maklumat mereka.

“LHDNM juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan perkara yang tular seumpama ini dan turut tidak menolak kemungkinan ia dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mengelirukan dan menipu masyarakat,” katanya.

Artikel asal Harian Metro

About Cucu

Check Also

Daun Kering, Bulu Burung, Tahi Cicak Ditemukan: Kilang Kicap Diarah Tutup Dua Minggu

[VIDEO] Daun kering, bulu burung, tahi cicak ditemukan: Kilang kicap diarah tutup dua minggu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *