Home / Berita Terkini / Amerika Syarikat lulus dos penggalak Pfizer | Itali mula beri dos ketiga vaksin

Amerika Syarikat lulus dos penggalak Pfizer | Itali mula beri dos ketiga vaksin

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam, meluluskan penggunaan dos penggalak vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk warganya berusia 65 tahun ke atas, kumpulan dewasa dengan komorbiditi dan pekerja berisiko tinggi.

Pengumuman itu, sekali gus membolehkan puluhan juta rakyat AS mendapat suntikan dos ketiga iaitu enam bulan selepas menerima dos kedua.

“Tindakan hari ini menunjukkan sains dan data yang ada sekarang terus dijadikan panduan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk memutuskan sebarang keputusan bagi vaksin COVID-19 dalam tempoh pandemik ini,” kata pemangku Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock.

Keputusan itu sudah dijangka dan dibuat selepas panel pakar bebas yang dipanggil oleh badan pengawal selia minggu lalu, memilih untuk melaksanakan langkah berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan pakar terbabit menolak cadangan awal yang dikemukakan oleh Pfizer dan disokong oleh pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bagi meluluskan sepenuhnya dos penggalak untuk individu berusia 16 tahun ke atas.

Panel itu terdiri pakar vaksin, penyelidik penyakit berjangkit dan ahli epidemiologi merumuskan keseimbangan di antara risiko dan manfaat penggunaan vaksin berkenaan berbeza untuk orang muda, terutama lelaki yang berisiko untuk dijangkiti miokarditis.

Ketika ini, penggunaan dos penggalak keluaran Pfizer menimbulkan perdebatan beberapa badan pakar di bawah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), yang mengesyorkan maklumat lebih lanjut mengenai kategori penerimanya.

Sebagai contoh, sekiranya obesiti menyebabkan individu itu tergolong dalam kumpulan berisiko, ia bermakna 42 peratus populasi AS layak untuk diberikan dos penggalak.

CDC juga perlu membuat keputusan mengenai tempat kerja dan aturan lain yang mungkin menyebabkan ‘pendedahan institusi atau pekerjaan yang kerap terhadap SARS-CoV-2.’

FDA turut menyenaraikan, pekerja kesihatan, guru, kakitangan jagaan harian, pekerja runcit dan mereka yang berada di tempat perlindungan atau penjara tanpa tempat tinggal sebagai penerima dos penggalak.

Dalam pada itu, individu yang menerima suntikan vaksin Moderna dan Johnson & Johnson kini turut menunggu keputusan sama ada mereka layak untuk menerima dos ketiga. – AFP

Itali mula beri dos ketiga vaksin

ROME: Itali mula memberikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 kepada penduduknya, selepas prosedur itu memperoleh kebenaran daripada Agensi Ubat-Ubatan Itali (AIFA).

Seperti yang diumumkan Kementerian Kesihatan awal bulan ini, dos ketiga terdiri Pfizer-BioNTech atau Moderna akan ditawarkan kepada individu yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah.

Ia termasuk golongan warga emas dan penduduk di rumah jagaan. Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh AIFA, pekerja kesihatan juga akan menerima dos penggalak.

Dos ketiga akan ditawarkan sebagai pilihan, kerana vaksinasi terhadap COVID-19 sangat disarankan, tetapi ia tidak wajib di Itali.

AIFA mengesyorkan, dos ketiga boleh diberikan sekurang-kurangnya dalam tempoh 28 hari selepas dos sebelumnya diberikan.

Bagi mereka yang berusia 80 tahun ke atas, individu tinggal di rumah jagaan dan profesional penjagaan kesihatan, dos ketiga dianggap sebagai ‘penggalak untuk mengekal tindak balas imun yang berkesan’ dan perlu diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos terakhir mereka.

Secara keseluruhan, AIFA dan Kementerian Kesihatan menekankan bahawa keutamaan negara berkenaan adalah untuk memastikan sebahagian besar penduduk divaksinasi.

Isnin lalu, sekitar 76 peratus populasi sasaran iaitu individu berusia di atas 12 tahun sudah lengkap divaksinasi, manakala 82 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, menurut data Kementerian Kesihatan Itali.

Sejak wabak COVID-19 merebak di Itali pada Februari 2020, sekitar 4.6 juta kes dilaporkan. Sejumlah 130,000 kes kematian dicatatkan dan 4.4 juta orang pulih daripada virus itu. – AGENSI

Artikel asal dan Sumber Berita Harian

Media Viral Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Dapatkan jawapan berkenaan aplikasi MySejahtera di Komuniti Rakyat Mysejahtera https://www.facebook.com/groups/mysejahtera/?ref=share

Jika anda Sokong Ekonomi Muslim | Komuniti Ustaz Ebit Elewsmart Fans https://www.facebook.com/groups/ebitlewmart/?ref=share

Advertisement

About Cucu

Check Also

Kelar Leher Ibu Sebelum Digilis Lori

𝗞𝗘𝗟𝗔𝗥 𝗟𝗘𝗛𝗘𝗥 𝗜𝗕𝗨 𝗦𝗘𝗕𝗘𝗟𝗨𝗠 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗟𝗜𝗦 𝗟𝗢𝗥𝗜 Gurun: Seorang lelaki tergamak mengelar leher ibunya di rumah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *