Home / Info Viral / Satu Satunya Wanita Yang Sertai ‘GENG KUBUR’

Satu Satunya Wanita Yang Sertai ‘GENG KUBUR’

BATU GAJAH – Siapa yang menyangka ‘tangan yang menghayun buaian juga mampu menghayun cangkul’ untuk mengorek dan menimbus liang lahad kubur.

Walaupun ada menerima pandangan serong segelintir masyarakat, namun Siti Mainom Syed Mohd Saai, 53, tidak mengendahkan sebaliknya masih tetap menjadi satu-satunya wanita antara enam ahli kumpulan ‘Geng Kubur’ yang menguruskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belangkor, dekat sini.

Ibu kepada empat cahaya mata berumur antara 20 sehingga 30 tahun itu berkata pandangan negatif itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi penggali kubur wanita sejak tahun 2018.

“Pelbagai pandangan orang itu adat kehidupan. Apa yang kita buat akan ada orang suka, dan sebaliknya. Tetapi saya tidak ambil pusing hal itu kerana saya lakukan ini kerana Allah SWT dan ia merupakan sebahagian daripada Fardu Kifayah.

“Saya tak akan lakukan kalau agama larang. Namun saya berpandangan agama tidak melarang wanita untuk mengorek liang lahad,” katanya ketika ditemui Suara Perak, dekat sini baru-baru ini.

Mengimbas detik permulaannya bersama Geng Kubur, Siti Mainom berkata dia pada awalnya berniat untuk menemani suami, Aznol Hisham Abdullah, 57, yang ingin bersama dengan kumpulan itu.

Siti Mainom memberitahu bahawa suaminya berminat untuk bersama dengan Geng Kubur walaupun pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan kedua-dua belah tangan Aznol Hisham terpaksa dimasukkan besi.

“Pada mulanya saya memang berniat untuk menamani suami, namun lama-kelamaan timbul rasa ingin mencuba menggali liang lahad. Saya bersyukur suami kemudian mengizinkan.

“Selain ia adalah tuntunan agama, saya dan suami yang bersama dengan Geng Kubur ini menganggap kerja-kerja menggali liang lahad dan membersihkan tanah perkuburan ini sebagai salah satu senaman. Daripada duduk sahaja di rumah, boleh juga keluar peluh jika di sini,” ujarnya.

Menurut Siti Mainom, pada awal penglibatannya dia mengakui merasa kekok dan takut untuk menggali liang lahad namun jelasnya, dua perasaan itu semakin hari semakin pudar.

“Kadang-kadang semasa mengorek liang lahad, saya pernah terjumpa tulang rangka. Ada juga situasi di mana terpaksa mengebumikan jenazah pada waktu malam. Ianya sudah biasa bagi saya.

“Ini kerana sebelum saya melakukan kerja-kerja menggali liang lahad, saya akan berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan. Mungkin disebabkan itu saya tidak ada rasa takut sebaliknya seronok, kerana dapat menjalankan Fardu Kifayah ini,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Aznol Hisham berkata dia sememangnya tidak ada masalah untuk Siti Mainom bersama dengan Geng Kubur selagi isteri tidak melepasi sebarang batas agama.

“Dalam Geng Kubur ini, saya dan isteri sentiasa bersama. Jika berkelapangan, kami akan bersama di sini dan jika saya tidak sihat, dia akan akan menemani saya di rumah.

“Walaupun dalam Geng Kubur ini kami bekerja secara sukarela namun ianya seronok bagi saya. Malah kami berenam sangat akrab bagai adik beradik,” ujar Aznol.

Pada masa sama, ketua Geng Kubur, Musa Mansor, 58, memberitahu mereka menyambut baik kesudian Siti Mainom untuk bersama-sama melakukan usaha murni itu.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata Siti Mainom merupakan seorang wanita ceria dan tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa bersama-sama mengorek liang lahad bagi kes kematian mengejut.

“Jika tiada hal-hal kematian, kami berenam akan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah perkuburan ini tiga kali seminggu bermula jam 8 pagi.

“Tanah perkuburan yang berusia hampir 200 tahun ini berkeluasan kira-kira enam ekar yang mana ianya terdapat 2,000 kubur. Pada masa sama ia membabitkan kariah di lapan kampung sekitar selain terdapat juga jenazah dari luar,” katanya lagi.

Sumber : Suara Perak

Advertisement

About admin

Check Also

Daun Kering, Bulu Burung, Tahi Cicak Ditemukan: Kilang Kicap Diarah Tutup Dua Minggu

[VIDEO] Daun kering, bulu burung, tahi cicak ditemukan: Kilang kicap diarah tutup dua minggu Advertisement

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *