Home / Berita Terkini / Lebih 70,000 petugas kesihatan alami gangguan emosi sejak pandemik bermula

Lebih 70,000 petugas kesihatan alami gangguan emosi sejak pandemik bermula

Perang melawan COVID-19 berterusan selama 20 bulan tanpa henti sejak Januari tahun lalu, menjejaskan kesihatan mental barisan petugas hadapan kesihatan apabila lebih 70,000 daripada mereka dikesan berdepan pelbagai gangguan emosi.

Jumlah pesakit baharu yang masih melebihi 20,000 ketika ini dan kematian pesakit COVID-19 di bawah jagaan mereka hampir setiap hari, menyebabkan ramai petugas kesihatan di hospital dan klinikal kerajaan mengalami stres ringan dan teruk, kemurungan serta kecelaruan.

Gangguan emosi itu dapat dilihat jelas menerusi perkongsian beberapa petugas kesihatan di media sosial, dengan ada yang mengaku menangis setiap hari berdepan bebanan tugas berkenaan.

Justeru, isu kesihatan mental petugas kesihatan, khususnya doktor dan jururawat, dilihat menjadi antara cabaran utama perlu diatasi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Koordinator Pasukan Sokongan Psikososial Kesihatan Mental (MHPSS) Perkhidmatan Psikiatri Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Nurul Nadia Ismail, berkata sekurang-kurangnya 75,078 aktiviti pertolongan cemas psikologi (PFA) dijalankan kepada petugas kesihatan KKM setakat Julai lalu.

Beliau berkata, aktiviti PFA dengan purata lebih 10,000 kes sebulan itu, adalah peningkatan dua kali ganda berbanding sepanjang tahun lalu yang merekodkan 64,477 PFA kepada anggota kesihatan KKM dan beberapa pesakit COVID-19.

Katanya, maklum balas diterima pasukan MPHSS mendapati isu kelesuan melampau atau burnout, menjadi penyumbang utama kepada tekanan dialami petugas kesihatan, peningkatan kes COVID-19, berjauhan lama dengan ahli keluarga dan tiada masa untuk mendapatkan intervensi psikososial.

Selain itu, gangguan emosi dalam kalangan petugas kesihatan dilihat ketara di negeri yang merekodkan jumlah kes dan kematian tinggi seperti Lembah Klang.

“Untuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), daripada hampir 2,000 kakitangan yang menjalani saringan kesihatan mental secara dalam talian mahupun bersemuka dari Mac 2020 hingga Julai 2021, sekitar 45 hingga 50 peratus daripada mereka mengalami gangguan emosi seperti stres ringan hingga teruk dan juga kelesuan melampau.

“Sebahagian kecil pula mencapai tahap penyakit psikiatri serius seperti kemurungan teruk atau kecelaruan keresahan.

“Pengumpulan data mengikut kes seperti tahap stres yang tinggi, kemurungan, kecelaruan keresahan dan sebagainya masih lagi dilaksanakan,” katanya kepada BH.

Dr Nurul Nadia berkata, isu kelesuan melampau didapati menjejaskan motivasi dan pemberian perkhidmatan kakitangan di premis KKM, sama ada di hospital atau di klinik kesihatan.

Katanya, ia berlaku akibat petugas kesihatan perlu bekerja lebih masa daripada yang diperlukan, selain pembekuan cuti terpaksa dilaksanakan di sesetengah tempat bagi menampung keperluan perkhidmatan yang semakin meruncing.

“Cabaran ini menjadi lebih sukar terutama apabila staf perlu dimobilisasi secara dalaman atau luaran, yang memerlukan mereka menyesuaikan diri dengan tugasan dan kemahiran baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, peningkatan kes harian menyebabkan petugas kesihatan bimbang dengan risiko jangkitan kepada mereka dan ahli keluarga, khususnya yang memiliki anak kecil dan ibu bapa yang berusia di rumah, sekali gus menyebabkan stres.

“Ada beberapa kes yang bukan terpencil yang mana doktor, pembantu pegawai perubatan serta jururawat menghantar anak mereka ke kampung untuk mengurangkan risiko jangkitan, namun perpisahan lama dan jauh memberi kesan kepada emosi mereka.

“Ramai juga kakitangan mengadu tidak mempunyai rehat mencukupi ketika bertugas, ditambah kekurangan keperluan asas yang penting seperti tempat solat, terutama yang bertugas di wad COVID-19 serta tiada ruang melepaskan lelah dan makan.

“Ada juga staf yang memerlukan bantuan pasukan MHPSS, tetapi tidak berjaya mendapatkannya disebabkan tidak mempunyai masa untuk hadir,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Nurul Nadia berkata, anggota kesihatan di negara ini mempunyai daya ketahanan tinggi dan masih mampu meneruskan perjuangan melawan pandemik walaupun berdepan tekanan.

Katanya, KKM juga menjalankan aktiviti sokongan sosial khususnya PFA secara aktif sejak Mac tahun lalu, selain menubuhkan MHPSS di sekurang- kurangnya 63 jabatan psikiatri di hospital serta klinik kesihatan seluruh Malaysia.

“MHPSS yang majoritinya diketuai seorang pakar psikiatri, menjalankan aktiviti PFA secara berkala, dengan individu atau berkumpulan secara dalam talian dan panggilan telefon, yang diselia sepenuhnya Ketua Perkhidmatan Psikiatri KKM, Dr Salina Abdul Aziz.

“Petugas yang berisiko dengan kelesuan melampau atau tekanan akan dihubungi dan sesi sokongan emosi diberikan secara individu atau berkumpulan, selain kemudahan teknologi turut digunakan seperti menjalani sokongan psikologi melalui WhatsApp dan Telegram,” katanya.

Dr Nurul Nadia berkata, antara PFA yang dijalankan termasuk memberikan tips kesihatan mental seperti Teknik Pernafasan Tenang dan Dalam, pengurusan stres berkesan, penjagaan diri yang baik atau ‘self-compassion’ serta motivasi harian melalui Facebook, seperti dilakukan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Selain itu, pasukan MHPSS juga memberi jambangan bunga serta dan kata semangat kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri, selain jambangan bunga, makanan, minuman serta sebagainya turut diberikan kepada petugas yang terbabit merawat pesakit COVID-19 sebagai tanda solidariti rakan sepasukan.

“Bagi kes dikenal pasti mempunyai isu kesihatan mental serius, mereka akan dihubungkan dengan Unit Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (UKKP) di hospital terbabit untuk memastikan mereka boleh ditempatkan di unit atau jabatan yang bersesuaian jika perlu.

“Sijil cuti sakit juga akan dikeluarkan jika bersesuaian dan mereka akan dirawat serta diselia dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel asal harian Metro

Media Viral Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya.

Dapatkan jawapan berkenaan aplikasi MySejahtera di Komuniti Rakyat Mysejahtera https://www.facebook.com/groups/mysejahtera/?ref=share

Jika anda Sokong Ekonomi Muslim | Komuniti Ustaz Ebit Elewsmart Fans https://www.facebook.com/groups/ebitlewmart/?ref=share

Advertisement

About Cucu

Check Also

Kelar Leher Ibu Sebelum Digilis Lori

𝗞𝗘𝗟𝗔𝗥 𝗟𝗘𝗛𝗘𝗥 𝗜𝗕𝗨 𝗦𝗘𝗕𝗘𝗟𝗨𝗠 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗟𝗜𝗦 𝗟𝗢𝗥𝗜 Gurun: Seorang lelaki tergamak mengelar leher ibunya di rumah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *