Walaupun pek bateri berkenaan mempunyai kadar 2.4 kWj, menurut Datuk Abdul Ghaffar beliau tidak dapat mengecas secara maksimum kerana terdapat sel yang bermasalah. Namun penilaian awal menunjukkan penukaran dari AC ke DC berkesan sebanyak 82%, atau sekitar 2 kWj. Dengan kadar penggunaan tenaga Zoe adalah 140 Wj setiap km, jumlah 2 kWj dalam Jerry Can tersebut sepatutnya membolehkan kereta tersebut bergerak sekitar 14 hingga 15 km.

Jarak 14 hingga 15 km berkenaan sudah tentu memang tidak banyak, tetapi ia mungkin cukup untuk bergerak ke punca kuasa yang lebih besar di lokasi berdekatan. Selepas ini, Datuk Abdul Ghaffar bakal menghasilkan satu pek bateri baharu yang akan menggunakan 16 sel bateri prismatik (berbanding 128 sel bateri silinder 32650 pada unit sedia ada) dengan berat 35.4 kg.

Pek bateri kedua tersebut tidak mempunyai inverternya sendiri, tetapi akan digandingkan pek bateri sedia ada. Beliau mensasarkan pek bateri kedua berkenaan untuk mencapai kapasiti 2.5 kWj serta memberikan penjimatan berat sebanyak 28 kg, berbanding sasaran kapasiti 2 atau 5 kWj sebelum ini yang mungkin memberikan berat keseluruhan 37 kg.

Secara teorinya, ia bakal memberikan kapasiti bateri keseluruhan 4.9 kWj dan secara tidak langsung akan menggandakan jarak 14 hingga 15 km sedia ada kepada sekitar 30 km dengan pek bateri kedua ini. Walau bagaimanapun, keseluruhan kuasa tersebut tidak boleh digunakan sekaligus, tetapi perlu secara berturutan.

Menurut Datuk Abdul Ghaffar, ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana jumlah voltan dalam kedua-dua pek bateri berkenaan mungkin berbeza.

Setakat ini pembangunan pek bateri EV Jerry Can ini telah pun menelan belanja sebanyak RM3,500. Namun adakah Datuk Abdul Ghaffar bercadang untuk menjualnya dalam pasaran? “Saya tak berniat untuk mengkomersilkannya, namun saya ada berbincang dengan beberapa syarikat untuk melihat adakah mereka berminat,” katanya

Beliau turut mempertimbangkan untuk menyewakan EV Jerry Can ini kepada syarikat-syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembaikan tepi jalan. “Ia mungkin lebih murah dari menunda,” katanya.

oleh Mohd Farid Awaludin dari Majalah Paultan dan media sosial