Home / Berita Terkini / 6300 Pengusaha Gunting Rambut Gulung Tikar

6300 Pengusaha Gunting Rambut Gulung Tikar

PETALING JAYA: Lebih 6,300 pengusaha kedai gunting di seluruh negara gulung tikar susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir.

Tidak tahan dengan nasib menimpa ahli persatuan berkenaan, Winda berkata, MBBA bersama beberapa lagi persatuan penggunting rambut dan salun akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, dalam masa terdekat, bagi memohon pertimbangan membenarkan sektor itu beroperasi semula.

Katanya, angka itu berkemungkinan besar akan meningkat jika perkhidmatan berkenaan terus tidak diberikan kelonggaran beroperasi semula.
“Berdasarkan data yang saya peroleh, seramai 21,820 pengusaha berkenaan termasuk ahli MBBA di seluruh negara, masih bertahan setakat ini tetapi memerlukan bantuan.

“Bagaimanapun, ada kemungkinan besar mereka juga akan mengalami nasib sama jika keadaan sekarang berterusan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Winda berkata, kos terbesar yang mereka terpaksa tanggung setiap bulan ialah sewa premis, termasuk mencecah hingga RM25,000 sebulan di sesetengah lokasi seperti dalam pasar raya besar.

Katanya, sejak pelaksanaan PKP, MBBA sudah beberapa kali mengemukakan surat rayuan serta cadangan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya sektor ini dibenarkan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Malangnya, ia tidak berhasil. Oleh itu, langkah menghantar petisyen kepada Agong adalah ikhtiar terakhir yang kami ada.

“Diharapkan pihak kerajaan akan mendengar keluhan dan memberi kebenaran untuk kami beroperasi semula dengan segera,” katanya.

Advertisement

About admin

Check Also

Kelar Leher Ibu Sebelum Digilis Lori

𝗞𝗘𝗟𝗔𝗥 𝗟𝗘𝗛𝗘𝗥 𝗜𝗕𝗨 𝗦𝗘𝗕𝗘𝗟𝗨𝗠 𝗗𝗜𝗚𝗜𝗟𝗜𝗦 𝗟𝗢𝗥𝗜 Gurun: Seorang lelaki tergamak mengelar leher ibunya di rumah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *